KAEDAH MENGATASI KETEGANGAN FIKIRAN
1. Mencari punca ketegangan
Apabila anda berada di dalam ketegangan adalah
sukar untuk kita mencari puncanya. Ini adalah kerana tekanan yang kita
rasai itu adalah terlalu berat. Bagi menyelesaikannya, anda perlulah mengupas
satu persatu masalah itu dan cuba mencari puncanya. Mustahil masalah yang
timbul tiada puncanya.
2. Menyelesaikan masalah dari bawah
Masalah yang kita anggap remeh jika dibiarkan
akan menjadi beban kepada diri sendiri dan ia sepatutnya diatasi dengan
segera sebelum masalah itu menjadi lebih parah. Anda perlulah mengubah
prinsip diri sendiri, jangan memandang rendah setiap masalah kecil yang
dihadapi.
3. Melakukan meditasi
Dengan melakukan meditasi atau tafakur anda akan
dapat mengenali hakikat diri dan menginsafi perbuatan sendiri. Anda juga
dapat menilai sikap, tutur kata, perbuatan dan juga tindakan anda serta
membuat pertimbangan di mana harus diperbaiki dan mengenal pasti masalah
yang menyebabkan hidup anda menjadi tegang.
3. Menulisnya di dalam diari
Apabila anda berasa marah, sedih, kecewa, geram
atau sebagainya anda boleh mencurahkan segala isi hati pada diari anda.
Tulislah segala apa yang anda rasai itu dan jangan menyimpan lagi perasaan
sedih anda. Simpan diari di tempat yang selamat dan jangan sampai ada orang
yang dapat membacanya kerana nanti anda yang akan merasa malu.
4. Bersukan dan beriadah
Dengan bersukan anda akan berasa sihat dan segar
di samping dapat melapangkan fikiran setelah peluh dikeluarkan. Dengan
bersukan juga anda akan dapat mengendurkan ketegangan otot-otot badan dan
melancarkan peredaran darah di dalam badan.
|
5. Meluahkan kepada teman rapat
Dengan menceritakan segala masalah yang sedang
anda hadapi kepada orang yang paling rapat dengan anda seperti kaum keluarga,
sahabat handai, guru kaunseling dan sebagainya, anda dapat mengurangkan
beban yang ditanggung. Mungkin masalah tersebut berat pada pandangan anda
tetapi tidak kepada mereka.
6. Menangis atau ketawa
Di waktu bersedih, air mata menjadi teman setia
walaupun tanpa ucapan kata-kata tetapi dengan linangan air mata telah membuktikan
seribu satu masalah. Tangisan dapat melegakan perasaan dan jiwa kita serta
mengendurkan ketegangan emosi. Mengikut kajian, dengan ketawa pula dapat
meningkatkan pernafasan dan kadar denyutan jantung yang mana proses ini
dapat membantu membuang toksin di dalam badan serta melancarkan peredaran
darah.
7. Berurut
Sekiranya sebelum ini anda tidak pernah berurut
mungkin anda akan berasa sedikit kesakitan tetapi anda perlu mencubanya
kerana ia dapat menghilangkan ketegangan. Berurut dapat melancarkan peredaran
darah dan mengendurkan urat serta otot yang kejang. Selepas berurut badan
anda akan terasa ringan. Pastikan anda mendapat tukang urut yang berkebolehan.
8. Bertawakkal kepada Allah
Setelah anda berusaha dan mencuba menghilangkan
masalah serta puncanya, untuk kali yang terakhir anda bertawakkallah kepada
Allah. Setiap yang berlaku adalah ujian daripada Allah bagi menguji kesabaran
dan ketahanan iman hamba-Nya. Dari-Nya kita datang dan kepada-Nya juga
kita kembali.
|